Monday, June 7, 2010

Apakah upacara terpenting yang menjadikan kedua pengantin itu suami isteri yang sah dari segi agama Islam? Huraikan upacara itu.

Upacara terpenting itu ialah Majlis Akad Nikah. Dalam majlis itu mesti ada Wali, Kadhi dan saksi. Tugas Wali ialah membenarkan majlis itu dijalankan. Tugas Kadhi ialah menjalankan Majlis Akad Nikah itu.

Yang boleh menjadi Wali ialah bapa kandung, abang, pak cik atau datuk (sebelah bapa). Kalau Wali tidak ada, Kadhi boleh menjadi Wali iaitu disebut Wali Hakim.

Majlis Akad Nikah boleh dijalankan di rumah, Mahkamah Syariah atau masjid. Wali juga boleh menikahkan pasangan itu (digalakkan).

Dalam majlis itu, pengantin lelaki melafazkan 'Terima Nikah' dengan suara yang lantang.

"Saya (Nama lelaki) terima nikahnya (Nama perempuan) dengan emas kahwin ($25-minimum) tunai."

Setelah majlis itu selesai kedua pengantin itu sah menjadi suami isteri. Doa dibaca oleh Kadhi.

Melafazkan - read out, pronounce
Lantang - loud and clearly heard
Sah - legal, legitimate
Kadhi - Muslim judge
Wali Hakim - Islam judge
Wali - headman, guardian
Tunai - paid
Doa - prayer

Huraikan bagaimana orang-orang Islam hari ini menjalankan ibadat berpuasa dalam Bulan Ramadhan

Berpuasa dalam Bulan Ramadhan ialah Rukun Islam yang ketiga. Ada dua cara untuk menetapkan hari mula berpuasa iaitu Cara Falak dan Cara Rokyah.

Rokyah ialah melihat anak bulan Ramadhan. Falak ialah dengan mengira. Pada masa sekarang orang-orang Islam mula berpuasa mengikut Cara Falak. Orang-orang Islam wajib berpuasa.

Berpuasa ertinya tidak boleh makan, minum, merokok dan kegiatan-kegiatan yang tidak sopan.

Orang-orang Islam berpuasa dari Subuh hingga Maghrib. Mereka akan berbuka selepas azan Maghrib. Orang-orang Islam digalakkan bersahur sebelum subuh untuk menahan lapar.

Mereka juga digalakkan sembahyang Terawih dan membaca Koran pada bulan puasa. Dalam Bulan Ramadhan mereka membayar Zakat dan Fitrah.

Rukun - Pillars of (Islam)
Menetapkan - make the day (with)
Rokyah - sight of "new born" moon
Falak - astrology
Mengira - calculated
Bersahur - meal taken between midnight and dawn
Azan - summons
Terawih - night prayers
Zakat - tithe
Fitrah - obligatory gift of an amount of rice

Apakah tugas-tugas ketua keluarga pada waktu dahulu ketika anak-anak mereka meningkat remaja?

Tugas mereka ialah memberi didikan agama kepada mereka. Anak lelaki akan dihantar ke rumah guru membaca Koran. Anak lelaki itu akan diajar membaca Koran hingga tamat (Khatam Koran). Guru itu akan mendapat upah kerana khidmatnya.

Anak perempuan juga akan diajar membaca Koran. Guru agama akan datang ke rumahnya. Selain membaca Koran anak perempuan juga diajar tentang mengurus rumahtangga iaitu memasak, menjahit, mengemas dan lain lain.

Ketua keluarga juga pastikan bahawa anak mereka juga diajar cara-cara sembahyang. Anak perempuan tidak dibenarkan keluar rumah tanpa ditemani.

Tamat - finished
Khatam Koran - "Finished Koran"
Mengemas - tidy
Ditemani - accompany

Monday, April 21, 2008

Melenggang Perut

MELENGGANG PERUT
Adat melenggang perut kebanyakannya lebih difahami masyarakat Melayu di selatan semenanjung manakala di sebelah utara semenanjung lebih dikenali dengan panggilan kirim perut. Adat ini ialah suatu adat yang dijalankan ke atas seorang isteri yang telah genap tujuh bulan hamil dan ia bertujuan untuk meletakkan kedudukan bayi di dalam perut di tempat yang sepatutnya, iaitu bahagian kepala di pintu rahim. Ini penting bagi memudahkan si ibu bersalin dan bayi tidak kelemasan di dalam perut. Maka pada masa itu, bidan akan dipanggil untuk memeriksa dan menentukan isteri yang hamil itu betul-betul telah genap tujuh bulan hamil atau belum cukup bulan lagi. Jika didapati sudah genap tujuh bulan isteri itu hamil, maka mulailah bidan itu diupah untuk melangsungkan adat melenggang perut ini. Kelengkapan yang mustahak perlu disiapkan untuk menjalankan adat ini. Antara kelengkapan tersebut disediakan adalah seperti berikut:
• Tujuh helai kain yang berlainan warna.
• Satu gantang beras.
• Sebiji buah kelapa.
• Beberapa urat benang.
• Satu batang damar.
• Sedikit minyak kelapa atau minyak urut.
• Beberapa batang lilin.
• Satu tepak sirih, yang lengkap dengan isinya.
• Pengeras wang sebanyak lima suku ($1.25) di dalam tepak itu.
Setelah semua barang tersebut disediakan, tok bidan akan menjalankan adat melenggang perut seperti berikut:
Mula-mula tok bidan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berwarna itu secara melintang sehelai demi sehelai. Ibu yang hamil itu akan dibaringkan di atas lapisan-lapisan kain tersebut. Kemudian, perut ibu itu akan diurut dengan minyak kelapa atau minyak urut secara perlahan-lahan.
Selepas itu, kelapa yang sudah dikupas tersebut akan diguling-gulingkan secara perlahan-lahan di atas perut ibu itu ke atas dan ke bawah sebanyak tujuh kali dan pada kali yang ketujuh itu, kelapa itu akan dilepas serta dibiarkan jatuh bergolek daripada perut ibu itu sambil diperhatikan oleh tok bidan itu. Tok bidan akan memerhatikan bagaimana kedudukan muka atau mata kelapa itu setelah berhenti bergolek. Jika mata kelapa itu menghala ke atas, ibu itu akan beroleh anak lelaki, dan jika ia menghala ke bawah, anak perempuan akan dilahirkan.
Setelah itu, sebelah tangan tok bidan akan memegang satu hujung kain lapisan atas sekali dan dengan tangannya yang sebelah lagi, dipegangnya hujung yang satu lagi. Kemudian kain itu diangkatnya sedikit sambil dilenggang-lenggangkan badan ibu itu. Dari sinilah terbitnya panggilan Lenggang Perut itu. Selepas itu, kain itu ditarik keluar daripada bawah badan ibu tersebut. Perbuatan ini akan dilakukan sehingga habis ketujuh-tujuh helai kain itu dikeluarkan dari bawah pinggang ibu tersebut. Kain yang di bawah sekali akan diberikan kepada tok bidan bersama-sama dengan kelapa, beras, damar, sirih pinang beserta dengan wang pengeras lima suku di dalam tepak sirih itu.
Biasanya, pada hari melenggang perut akan diadakan kenduri kecil-kecilan yang akan dihadiri oleh orang tua-tua dan kaum keluarga yang rapat. Pada masa kenduri itu berlangsung, si ibu yang akan melenggang perut itu akan dipakaikan dengan pakaian yang baru dan cantik.

Adat Resam

Adat Resam
Bangsa Melayu amat terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan santunnya. Kehidupan sehari-hari sangat dipengaruhi oleh persekitaran masyarakatnya. Dan kebiasaan ini telah menjadi amalan turun-temurun zaman-berzaman yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, begitulah amalan-amalan tertentu ini tetap diamalkan walaupun arus kemodenan telah lama menyerapi kehidupan masyarakat Melayu di negara kita ini.
Setelah kedatangan Islam lebih 700 tahun yang lalu amalan-amalan tertentu di dalam kehidupan seharian ini telah disesuaikan dengan tuntutan dan saranan agama, mana-mana amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam telah ditinggalkan serta tidak diamalkan lagi. Amalan ini juga dipanggil sebagai adat.
Pepatah melayu "Biar mati anak, jangan mati adat", merujuk kepada betapa pentingnya adat serta amalannya dalam masyarakat melayu. Terdapat banyak pepatah serta ungkapan yang merujuk kepada perlaksanaan sesuatu adat itu. Kebanyakkan adat adalah juga merupakan peraturan terhadap kehidupan sehari-harian, ia juga dipanggil ritual.
Berikut adalah beberapa rentetan adat resam Melayu yang pernah diamalkan dan ada yang masih diamalkan hingga ke hari ini: Melenggang Perut
Menyambut Kelahiran
Berendoi
Bercukur Jambul
Bersunat
Bertindik
Berkhatam Al-Quran
Menilik atau merisik
Meminang dan bertunang
Menghantar Belanja dan Akad Nikah
Berandam dan berasah gigiBerinai di Pelamin
Bersanding
Mandi-mandian atau berlimau
Sambut-menyambut (Bertandang)
Meminang Perempuan Janda
Adat Berkahwin Janda
Adat Berkahwin Janda Berhias
Bersalin
Berpantang Empat Puluh Empat Hari
Mandi Selepas pantang
Kematian